Tahap Penggunaan ICT Dalam Kalangan Masyarakat Di Negeri Kelantan
Berdasarkan kepada perbincangan peserta yang hadir ke perjumpaan ICT yang diadakan pada hari Jumaat, 30 Mei 2008 , bertempat di Pusat ICT Kok Pasir, Tumpat, Kelantan,
Perbincangan ini membabitkan 8 orang peserta yang daripada beberapa peringkat umur dan pekerjaan, termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang ICT.
Bagimemudahkan usaha mengenalpasti permasalahan penggunaan ICT dalam kalangan Masyarakat di Negeri Kelantan ianya dibahagikan kepada 6 tahap umur seperti berikut:
- Kanak-Kanak berumur 9 - 12 Tahun (Pelajar Sekolah Rendah)
Kanak-kanak pada peringkat umur 9 hingga 12 tahun menggunakan kemudahan komputer dan internet untuk perkara-perkara berikut:
Permainan komputer (games) ringan bertujuan untuk mengasah minda dan membuka minda.
- Permainan computer didapati ada manfaatnya , tapi ianya perlu ada kawalan dan dipantau bagi mengelakkan daripada penggunaan masa yang berlebihan sehingga mengabaikan pelajaran dan membazirkan wang.
- Permainan games computer dan games dalam talian untuk kanak-kanak seharusnya tidak melabihi 1 jam sehari atau kurang daripada waktu itu.
Belajar menaip dan melukis .
Selain bermain permainan komputer. kanak-kanak di usia ini juga memanfaatkan komputer dan ICT untuk belajar menaip dan melukis dengan menggunakan perisian-perisian tertentu.
- Semasa mereka belajar menaip perlu ada sedikit sebanyak bimbingan dan tunjuk ajar bagi mereka dapat menguasai kemahiran dengan lebih capat dan mudah.
- Belajar melukis menggunakan palbagai perisian berkenaan juga dapat mengasah kemahiran menggunakan komputer dan mengasah bakat serta kreativiti seseorang kanak-kanak tersebut.
Melihat CD berkaitan pelajaran dan melihat cerita-cerita dari CD .
Kanak-kanak di peringkat ini juga gemar melihat CD yang berhubung dengan mata pelajaran yang dipelajari mereka bagi mempercepatkan pemahaman dalam proses pembelajaran, disamping mereka gemar melihat cerita-cerita dari CD sebagai altenatif kepada menonton di TV dan VCD..
Kesimpulan :
-Kebanyakan Kanak-kanak di usia 9 hingga 12 tahun lebih gemar menggunakan komputer dan internet untuk bermain games sama ada dalam talian atau permainan di komputer.
-Kanak-kanak di peringkat ini perlu dipantau dan dibimbing agar tidak menjadi leka bermain sehingga membuang masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan perkara lain terutamanya untuk pembelajaran.
-Dianggarkan sejumlah 20 peratus kanak-kanak di tahap ini dapat menguasai komputer dan ICT secara minima dan sederhana.
2. Remaja Berumur 13 Hingga 17 Tahun (Pelajar Sekolah Menengah)
Dipercayai sejumlah 35 % pelajar di peringkat ini mempunyai sedikit sebanyak kemahiran menggunakan komputer dan kemudahan ICT untuk
tujuan tertentu antara lainnya seperti berikut.
2.1 Permainan Games Strategis yang lebih mencabar seperti perlawanan bola sepak, perlumbaan kereta dan motorsikal yang memerlukan penggunaan pemikiran dan penumpuan serta kemahiran mengawal pergerakan dengan pantas.
2.2 Menggunakan kemudahan internet untuk Catting dengan menggunakan Mirc, Yahoo Messenger, skypye dan sebagainya.
2.3 Menggunakan laman-laman tertentu untuk mencari kenalan seperti Frienster dan Myspace.(Frienster merupakan laman pilihan utama kebanyakan daripada mereka).
2.4 Memuat turun dan mendengar lagu-lagu di internet .
2.5 Mencari bahan-bahan hiburan seperti melalui youtube dan laman-laman hiburan yang berkaitan.
2.6 Melakukan carian maklumat untuk tugasan sekolah .
Kesimpulan:
- Tahap ini merupakan tempat bermulanya sesuatu generasi dan bermulanya hala tuju masa depan. Kiranya mereka memilih lorong yang salah bermakna mereka berkemungkinan melaluinya sehingga ke akhirnya.
- Golongan ini perlu dipantau semasa mereka menggunakan kemudahan ICT supaya selain tidak melencung ke laman-laman tidak bermoral atau ke arah aktiviti yang tidak sihat, mereka juga perlu dikawal dari segi penggunaan masa agar tidak menghabiskan banyak masa yang berharga untuk hiburan semata.
- Golongan ini belum ada hala tuju dalam ICT dan dalam hidup bermasyarakat. Pemantauan serta tunjuk ajar perlu dilakukan secara aktif dan berkesan bagi mengajak mereka memanfaat kemudahan ini dengan sebaiknya.
- Golongan ini merupakan mereka yang suka mencuba sesuatu yang baru dan dalam percubaan mereka itu, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya tanpa pantauan yang berkesan.
- Hanya sebilangan kecil sahaja mereka yang memanfaatkan kemudahan ICT sebagaimana sewajarnya seperti mencari maklumat untuk rujukan dan mendapatkan bahan ilmu pengetahuan dengan tanpa didesak dan diarah.
Penyelesaian:
- Dedahkan mereka dengan mengadakan kursus-kursus umum dan kursus khas tentang ICT , seperti mengadakan kursus kefahaman ICT, kurus kemahiran asas ICT .
- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu anjurkan kursus-kursus ICT dengan kerjasama pihak sekolah dan melalui kerjasama dengan pertubuhan parti-parti politik , badan-badan kerajaan dan pihak swasta.
- Pihak sekolah juga perlu mengadakan kursus-kursus kefahaman ICT bagi memandu mereka ke arah memanfaatkan penggunaan kemudahan ICT.
3. Mereka yang berumur antara 18 hingga 25 tahun.
Tahap ini adalah terdiri daripada pelajar menengah atas, pelajar pusat pengajian tinggi, mereka yang sedang mencari pekerjaan, mereka yang baru menduduki alam pekerjaan, baru membina keluarga sendiri di alam percintaan dan sebagainya.
- Golongan ini terbahagi kepada 2 kategori yang terpecah akibat kegagalan pengawalan secara berkesan pada peringkat umur 13 hingga 17 tahun sebelum ini, terutamanya oleh ibu bapa dan masyarakat setempat. Golongan pertama adalah mereka yang menggunakan kemudahan ICT ke arah yang bermanfaat dan golongan kedua mereka yang menggunakan kemudahan ICT untuk tujuan yang kurang bermanfaat atau tidak bermanfaat.
- Golongan pertama menggunakan kemudahan ICT untuk mengakses maklumat bagi tujuan pembelajaran dan rujukan. Menggunakan ICT untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan , untuk tujuan perniagaan (bukan skim cepat kaya). Memuat turun bahan-bahan rujukan, Belajar teknikal-teknikal tertentu yang berkaitan dengan ICT dan bidang-bidang kemahiran lain .
- Golongan kedua menggunakan kemudahan ICT untuk mempamerkan gambar-gambar atau video yang tidak bermoral, mengakses laman-laman tidak bermoral dan menggunakan kemudahan ICT untuk hiburan yang diluar tatasulila masyarakat Melayu khasnya.
Kesimpulan:
- Pada peringkat umur 18 ke 25 merupakan pengguna ICT yang mendebarkan dan ada daripada mereka yang berkemahiran tinggi dan sudah memiliki kepakaran .
- Mereka tidak lagi perlu dipantau oleh ibu bapa, tetapi perlu dipantau oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Tetapi orang yang lebih dewasa boleh berbincang dengan mereka secara bijaksana.
4. Umur antara 26 hingga 40 tahun. (Dewasa)
Tahap ini merupakan tahap yang istimewa dalam penggunaan ICT. Mereka yang berada di tahap ini selalunya menggunakan kemudahan ICT secara sewajarnya dan secara yang betul. Mereka selalunya tergolong daripada golongan pertengahan yang berkerjaya dan berpendapatan tetap.
4.1 Menggunakan kemudahan ICT untuk menerima dan menghantar e-mel.
4.2 Menggunakan internet untuk berbincang di ruangan forum
4.3 . Menggunakan e-mel untuk menyertai egroups di yahoogroups.com , googelgroups dan sebagainya.
4.4 Memanfaatkan perbankan online untuk bayaran bill dan mengadakan pembelian dalam talian , menempah tiket dan sebagainya.
4.5 Membina laman-laman web umum dan laman web untuk perniagaan.
4.6 Mereka bukan lagi mengemari permainan komputer dan tidak lagi menumpukan kepada hiburan semata.
4.7 Membina laman-laman blog terutamanya laman-laman blog politik bagi melahirkan perasaan dan mengemukakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu.
4.8 Ada kalangan mereka mengemukakan sesuatu pandangan dengan bernas dan ada sebahagiannya menyebarkan fitnah dan sebagainya.
Kesimpulan:
- Pemantauan masih perlu dilakukan oleh pihak berkuasa .
- Kursus-kursus kemahiran masih perlu disertai.
- Golongan ini merupakan antara mereka yang menggunakan kemudahan ICT secara bermanfaat dan berfaedah.
- Golongan ini sebahagiannya terdiri daripada pakar-pakar ICT dan pakar Komputer
5. Umur antara 41 hingga 60 tahun. (Warga gangsa)
5.1 - Mereka menggunakan kemudahan internet untuk baca berita-berita di akhbar dalam talian.
5.2 – Menggunakan laman blog untuk menyatakan pandangan.
5.3 – Menggunakan kemudahan e-mel untuk mendapatkan maklumat dan memperkukuhkan persahabatan serta kekeluargaan.
5.4 – Mengakses laman-laman yang berkaitan dengan minat dan bidang yang mereka ceburi seperti pertanian, masakan, kesihatan dan sebagainya.
5.5 Mereka selalunya tidak memikirkan perkara yang serius dalam perkembangan ICT.
Kesimpulan:
- Mereka yang berumur dalam lingkungan ini selalunya terdiri daripada mereka yang memandang negatif terhadap perkembangan ICT dan tidak mengambil kisah terhadap perkembangan tersebut.
- Hanya sekitar 5% sahaja daripada mereka yang menggunakan kemudahan Internet dan mengambil berat tentangnya.
- Mereka menganggap bahawa mereka tidak perlu lagi untuk bersusah payah belajar ICT dan berpandangan ICT hanyalah untuk golongan remaja dan mereka yang sedang di bangku pelajaran sahaja.
- Golongan ini adalah antara mereka yang kurang pendedahan terhadap ICT kerana bagi mereka ICT adalah perkara baru yang sudah terlambat bagi mereka untuk mengejarnya.
Penyelesaian:
Biarkan masa yang menentukan.
- Umur 61 tahun ke atas. (Warga Emas)
Golongan ini merupakan kumpulan yang terkecil menggunakan kemudahan ICT dianggarkan hanya 0.5 peratus sahaja dari kalangan mereka yang tahu menggunakan kemudahan computer dan ICT.
Mereka hanya menggunakan ICT untuk bacaan tambahan seperti baca berita-berita di akhbar dalam talian.
Mengakses laman-laman kesihatan dan mempelajari tentang jenis-jenis penyakit dan tips-tips ubat-ubatan.
Kesimpulan:
-Golongan Warga Emas merupakan mereka yang paling sedikit menggunakan kemudahan ICT dan internet.
-Kedatangan internet ketika mereka sudah berusia lebih empat puluhan membuatkan mereka seperti tertinggal dalam arus ini.
-Masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.
-Ada urusan lain yang dirasakan lebih penting berbanding ICT.
- Kalau dalam kalangan Warga Emas yang berkemahiran dalam ICT , mereka adalah antara yang berketrampilan dan menyedari tentang kepentingan ICT dalam kehidupan hari ini.
Berdasarkan daripada catatan-catatan yang dibuat semasa perbincangan di perjumpaan ICT ini, walaupun ianya tidak merupakan kajian yang menyeluruh dan membabitkan ramai peserta dan pakar-pakar, namun ianya tetap boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada pihak-pihak yang merasa berkewajipan untuk memperkasakan ICT demi memudahkan urusan masyarakat pada waktu-waktu mendatang.
Dilihat secara menyeluruh, telah ada langkah-langkah yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan seperti Kementerian Pelajaran dan jabatan-jabatan tertentu seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta orang-orang perseorangan untuk memperkasa penggunaan ICT di Kelantan khasnya, tetapi buat masa sekarang masih banyak ruang yang perlu diisi bagi mamastikan kadar celik ICT dan celik kafahaman ICT bergerak lebih pantas supaya masyarakat Negeri ini tidak ketinggalan dalam teknologi tanpa sempadan ini.
Rumusan Keseluruhan:
1. Golongan yang mahir ICT dan meminati ICT perlu tampil untuk menyedarkan masyarakat tentang penting penggunaan ICT dalam kehidupan seharian.
2. Penggunaan ICT ke arah yang bermanfaat masih kurang berbanding dengan penggunaan yang kurang bermanfaat.
3. Kemudahan internet jalur lebar di Kelantan masih terhad.
4. Prasarana ICT masih berkurangan yang disediakan oleh pelbagai pihak kecuali beberapa jabatan dan syarikat tertentu sahaja.
5. Bajet masyarakat terhadap ICT kurang dan mereka lebih memilih perbelanjaan terhadap perkara lain yang bagi mereka lebih penting.
6. Kebanyakan masyarakat sekarang berada dalam kesibukan dalam mengurus kehidupan seharian.
7. Perlu diwujudkan suasana persahabatan yang erat dalam kalangan warga ICT melalui egroup dan forum-forum yang berkaitan.
8. Sebahagian mereka yang berkemahiran masih dalam keadaan kedekut ilmu untuk dikongsikan kepada umum.
9. Sebahagian daripada mereka yang mahir ICT tidak ingin mengongsi kemahiran mereka kerana bimbingkan orang lain menjadi lebih pandai daripada mereka.
10. Perjumpaan ICT perlu diadakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun bagi membincangkan tentang perkembangan ICT dari masa ke semasa.
11. Kurangnya sokongan mereka yang berkemampuan terhadap memperkasakan ICT berbanding dengan bidang-bidang lain yang bersifat sukaramai.
Dicatat oleh Ediramle Ismail,
Pusat ICT Kok Pasir, Tumpat, Kelantan
Perjumpaan ICT Kelantan . Pada 30 Mei 2008 bertempat di Pusat ICT Kok Pasir, Tumpat, Kelantan